Fatimah Al-Zahra

Fatimah al-Zahra AH ('Alaiha-s-Salam) (ucapan Alaiha Salam sila rujuk misalnya dalam Sahih Bukhari, Juzuk 5, hadith 368, dan 546) adalah puteri kepada Rasulullah SAWA. Ibunya Khadijah iaitu isteri Rasulullah SAWA yang pertama dan amat dikasihinya. Tentang bondanya Khadijah, Rasulullah SAWA pernah bersabda yang bermaksud:

"Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun." [Muhibuddin al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl.42; Al-Hakim alam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm.157].

Fatimah AH mempunyai nama-nama timangan seperti Ummal Hasan, Ummal Husayn, Ummal Muhsin, Ummal A'immah dan Umma Abiha [Bihar al-Anwar' Juzuk 43, hlm.16]

Rasulullah SAWA menggelarkannya Fatimah AH sebagai "Ummu Abiha" bermaksud ibu kepada ayahnya. Ini kerana Fatimah AH sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya yang dikasihi itu. Selain daripada itu gelaran-gelaran lain ialah Zahra, Batul, Siddiqah Kubra Mubarakah, Adhra, Tahirah, dan Sayyidah al-Nisa [Bihar al-Anwar, Juzuk 43, hlmn.16]

Fatimah dilahirkan pada 20 Jamadil Akhir di Mekah iaitu pada Hari Juma'at, tahun kelima selepas kerasulan Nabi Muhammad SAWA [Manaqib Ibn Shahrashub, (Najaf), Juzuk 3, hlm.132; al-Kulaini, al-Kafi; Misbah al-Kaf'ami; Syeikh al-Mufid, Iqbal al-Amal]. Tempat beliau dilahirkan ialah di rumah ayahanda dan ibundanya iaitu Rasulullah SAWA dan Khadijah ak-Kubra. Beliau AH wafat pada tahun ke-11 hijrah iaitu selepas enam bulan kewafatan ayahandanya Rasulullah SAWA [al-Bukhari, Sahih, Juzuk 5, Hadith 546]

Kelahiran Fatimah AH amat menggembirakan Rasulullah SAWA. Beliau SAWA bersabda tentang Fatimah AH:" Dia adalah daripadaku dan aku mencium bau syurga dari kehadirannya."[Kasyf al-Qummah, Juzuk 2, hlm.24].

Mengapa diberkan Nama Fatimah? Menurut Imam Ali al-Ridha AS nama "Fatimah" diberikan oleh Rasulullah SAWA Fatimah AH dan para pengikutnya terpelihara dari api neraka. Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata: " Rasulullah SAWA bersabda kepada Ali AS: Tahukah kamu nama mengapa nama Fatimah diberikan kepadanya? Ali menjawab: Mengapa dia diberikan nama itu? Dia (Rasulullah SAWA) bersabda: Kerana dia dan shiahnya akan diperlihara dari api neraka."

Ketika masih berumur dua tahun Fatimah AH turut bersama-sama ayahanda dan bondanya di perkampungan Shi'bi Abi Talib kerana di boikot oleh masyarakat Mekah. Kemudian pada tahun ke sepuluh kerasulan, bondanya Khadijah pula meninggal dunia. Peristiwa ini menjadikan Fatimah banyak bergantung hidup kepada ayahandanya Muhammad Rasulullah SAWA.

Dalam peristiwa hijrah ke Madinah, Fatimah AH bersama-sama dengan rombongannya iaitu Fatimah binti Asad bin Hashim iaitu ibu kepada Imam Ali AS, Fatimah binti al-Zubair bin Abdul Muttalib,Fatimah binti Hamzah, dan juga Ayman dan Abu Waqid al-Laithi berhijrah ke Madinah. Rasulullah SAWA telah sampai dahulu di Quba, Madinah. Sebelum meninggalkan Mekah Rasulullah SAWA telah mengarahkan Ali bin Abi Talib supaya menyusul bersama keluarganya kemudian. Justeru, rombongan hijrah tersebut diketuai oleh Ali bin Abi Talib AS.

Keperibadian Fatimah al-Zahra AH

Fatimah AH termasuk dalam Ahlul Bayt Rasulullah SAWA sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-Tathir dalam surah al-Ahzab: 33. Dalam Surah Al-Ahzab:33 bermaksud:

"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan kalian daripada kekotoran (rijsa) ,wahai Ahlul Bayt dan menyucikan kamu sebersih-bersihnya."

Dalam ayat di atas, Fatimah AH adalah salah seorang daripada Ahlul Bayt Rasulullah SAWA dan Allah SWT telah menyucikan Fatimah AH dari sebarang dosa-dosa, bermakna Fatimah AH adalah seorang yang maksum.[Sila baca Riwayat Hadith Kisa]

Fatimah az-Zahra AH mempunyai sifat-sifat kemuliaan yang dinyatakan dalam al-Qur'an. Ulama ahli sunnah dan syi'ah bersetuju bahawa ayat al-Qur'an surah Al-Insaan(76);8-9 ditujukan kepada keluarga Fatimah AH iaitu yang bermaksud: " Dan mereka memberikan makanan yang disukai kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberikan makanan kepada kamu hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidaklah kami mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga (ucapan) terima kasih."

Ayat di atas mengisahkan Hasan dan Husayn AS sedang dalam keadaan sakit. Rasulullah SAWA dengan beberapa orang sahabat menziarahi mereka. Rasulullah SAWA mencadangkan kepada Ali AS bernazar kepada Allah SWT bahawa dia dan keluarganya akan berpuasa selama tiga hari apabila anak mereka sembuh dari penyakit tersebut. Ali, Fatimah, dan pembantu mereka, Fizzah bernazar kepada Allah SWT. Apabila Hasan dan Husayn AS sembuh, mereka pun berpuasa. Pada waktu berbuka datang seorang pengemis meminta makanan kepada mereka. Pada hari itu mereka hanya berbuka dengan sahaja. Keesokan hari ini datang seorang anak yatim meminta makanan daripada mereka pada waktu berbuka dan sekali lagi mereka hanya berbuka dengan air sahaja. Pada hari ketiga, datang pula seorang tawanan perang meminta makanan. Selepas memberikan makanan, Ali membawa anak-anaknya ke rumah Rasulullah SAWA. Rasulullah SAWA berasa sedih melihat keadaan cucunya itu. Ali AS membawa Rasulullah SAWA ke rumah mereka. Sampai di sana Rasulullah SAWA melihat Fatimah AH sedang berdoa dengan keadaan yang amat lemah. Rasulullah SAWA berasa amat sedih. Turun malaikat Jibril berkata kepada beliau SAWA," Wahai Muhammad ambillah dia (Fatimah). Allah memberikan tahniah pada Ahl Bayt kamu." Lalu Jibril membacakan ayat tersebut.[Al-Hakim al-Haskani, Shawahid al-Tanzil, jld.II, hlm.298; al-Alusi, Ruh al-Ma'ani, jld.XXIX, hlm.157; Fakhur al-Razi, Jild.XIII, hlm.395]

Rasulullah SAWA bersabda yang bermaksud:

"Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Barang siapa yang membuat dia marah, akan membuat aku marah." [a-Bukhari, Jilid II, hlm.185]

Imam Ali al-Redha AS berkata bahawa Rasulullah SAWA bersabda bermaksud:

"Hasan AS dan Husayn AS adalah makhluk yang terbaik di dunia selepasku dan selepas bapa mereka (Ali AS) dan ibu mereka (Fatimah AH) adalah wanita yang terbaik di kalangan semua wanita."[Bihar, Jilid 43, hlm. 19 dan 20]

Dari Imam Ali AS dari Rasulullah SAWA berkata kepada Fatimah AH bermaksud:

"Sesungguhnnya Allah marah kerana kemarahanmu dan redha kerana keredhaanmu."[Mustadrak al-sohihain, juzuk 3, hlm152]

Dari Aisyah berkata bahawa:

"Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih benar dalam berhujah daripadanya melainkan ayahnya (Rasulullah SAWA)."[Mustadrak al-Sohihain, Juzuk 3, hlm.160]

Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith dari Aisyah berkata bahawa Rasulullah SAWA bersabda: "Tidakkah engkau redha (wahai Fatimah) bahawa engkau adalah saidati-nisa fil-Jannah(pemimpin wanita di syurga) atau pemimpin wanita seluruh alam..." [Sahih Bukhari, Jld. IV, hadith 819]

Dalam hadith yang lain al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah sebuah hadith yang panjang dan di sini dinyatakan sebahagiannya:

"Wahai Fatimah! Tidakkah engkau redha bahawa engkau adalah saidati-nisa il-mu'minin (pemimpin wanita mu'minin) atau saidanti-nisa-i hadzhihi il-ummah (pemimpin wanita umah ini)?"[Al-Bukhari, Jilid 8, hadith 301]

Al-Bukhari meriwayatkan hadith dari Imam Ali AS bahawa pada suatu ketika Fatimah AH mengadu tentang kesusahannya mengisar tepung. Apabila beliau AH mendengar berita ada beberapa orang hamba dari rampasan perang telah dibawa kepada Rasulullah SAWA, beliau AH lalu pergi (ke rumah Rasulullah SAWA) untuk menemui baginda SAWA bagi mendapatkan pembantu tersebut, tetapi pada ketika itu (Rasulullah SAWA tidak ada di rumah) Aisyah tidak dapat mencari baginda SAWA. Lalu Fatimah menceritakan hasratnya kepada Aisyah. Apabila Rasulullah SAWA pulang, Aisyah menyatakan kepadanya perkara tersebut. Rasulullah SAWA kemudian pergi ke rumah kami....Mahukan kamu aku nyatakan suatu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? (Iaitu) apabila kamu hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah Allahu Akbar 34 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Subhan Allah 33 kali. Ini adalah lebih baik daripada yang kamu pohonkan."[ Al-Bukhari, Jld. VI, hadith 344]

Amru bin Dinar meriwayatkan dari Aisyah berkata:

"Tidak pernah aku melihat seseorang pun yang lebih benar daripada Fatimah salamullah 'alaiha selain daripada ayahnya."[Hilyatul-awliya, Juzuk 2, hlm. 41]

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAWA bersabda yang bermaksud:

"Pada malam aku diangkat ke langit (mi'raj), aku melihat di pintu syurga tertulis bahawa Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah, Allah mengasihiku, dan Hasan, dan Husayn sofwatullah (sari yang terbaik dari Allah) , Fatimah Khiratullah (sesuatu yang terbaik dari pilihan Allah), laknatullah ke atas mereka yang membenci mereka."[Tarikh al-Baghdadi, Juzuk 1, hlm. 259]

Fatimah al-Zahra AH mempunyai sifat-sifat berikut seperti ayahnya dan suaminya serta anggota keluarganya :(1) menemukan jalan yang benar (ihtida') (2) mentaati prinsip-prinsip Islam (iqtida'), dan (3) berpegang teguh serta menyakini kewajipan-kewajipannya (tamassuk)." [ Nasa'i dalam Khashais Alawiyyah]

Kezuhudan Fatimah al-Zahra AH

Imam Hasan AS meriwayatkan," Aku belum pernah melihat seorang wanita yang lebih alim daripada ibuku. Ia selalu melakukan solat dengan begitu lama sehingga kakinya menjadi bengkak." Imam Hasan AS juga meriwayatkan:

"Aku melihat ibuku, Fatimah berdiri solat pada malam Jumaat. Beliau meneruskan solatnya dengan rukuk dan sujud sehingga subuh. Aku mendengar beliau AH berdoa untuk kaum mu'minin dan mu'minah dengan menyebut nama-nama mereka. Beliau berdoa untuk mereka semua tetapi beliau AH tidak berdoa untuk dirinya sendiri. "Ibu," Aku bertanya kepada beliau AH. "Mengapa ibu tidak berdoa untuk diri sendiri sebagaimana ibu berdoa untuk orang lain?" Beliau menjawab," Anakku, (berdoalah) untuk jiran-jiranmu diutamakan dan kemudian barulah dirimu sendiri."[Bihar al-Anwar, Jilid 43, hlm.81-82; Abu Muhammad Ordooni, Fatimah The Gracious, hlm.168-169;Sayyid Abdul Razak Kammoonah Husseini, Al-Nafahat al-Qudsiyyah fi al-Anwar al-Fatimiyyah, Juzuk 13, hlm.45]

Asma' binti Umays meriwayatkan:

"Pada suatu ketika aku sedang duduk-duduk bersama Fatimah AH apabila Nabi SAWA datang. Beliau SAWA melihat Fatimah AH memakai rantai di lehernya yang telah diberikan oleh Ali bin Abi Talib AS dari bahagiannya yang diambil daripada harta rampasan perang." Anakku", beliau SAWA berkata, " Janganlah tertipu dengan apa yang orang katakan. Anda adalah Fatimah puteri Muhammad, anda memakai barang perhiasan (yang menjadi kesukaan) orang-orang yang bongkak." Beliau AH serta-merta melucutkan rantainya pada ketika itu juga dan menjualnya. Dengan wang dari jualan tersebut, beliau AH membeli dan kemudian membebaskan seorang hamba lelaki. Apabila Rasulullah SAWA mendengar apa yang beliau AH lakukan, beliau SAWA berasa gembira dan mendoakan rahmat kepada Imam Ali AS.

[Al-Hakim, Al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm. 152; Bihar al-Anwar, Jilid 43, hlm.81]

Karamah Fatimah al-Zahra AH

Abu Sai'd al-Khudri berkata: "Pada suatu hari Ali AS berkata bahawa beliau AS berasa amat lapar. Beliau AS kemudian meminta Fatimah AH menyediakan makanan. Fatimah AH bersumpah bahawa tidak ada makanan yang tinggal untuk menghilangkan kelaparan Ali AS. Imam Ali AS bertanya mengapa Fatimah AH tidak memberitahukan kepadanya bahawa di rumah mereka sudah tidak ada makanan lagi. Fatimah AH menyatakan bahawa dia AH berasa malu untuk menyatakan perkara itu, dan dia AH juga tidak mahu menuntut apa-apa dari Imam Ali AS. Imam Ali AS keluar dari rumah dengan rasa tawakal kepada Allah SWT. Beliau AS meminjam wang sebanyak satu dinar dengan hasrat untuk membeli makanan untuk ahli rumahnya. Dalam perjalanan pulang, beliau bertemu Miqdad ibn Aswad sedang terbaring di atas jalan pasir yang panas terik oleh bahang matahari yang membakar. Miqdad kelihatan sedih dan tidak bermaya. Lalu Imam Ali AS bertanya kepadanya apa yang terjadi tetapi dia enggan menyatakan perkara yang berlaku kepada Imam Ali AS. Tetapi akhirnya dia menyatakan juga rahsia itu dan berkata:

"Wahai Abul Hasan! Aku bersumpah bahawa ketika aku keluar rumah tadi, ahli rumahku berada di dalam kelaparan yang teruk. Anak-anakku kebuluran dan aku tidak sanggup menonton keadaaan mereka menangis itu. Lalu aku meningggalkan mereka, dan berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut."

Air mata Ali AS jatuh berguguran dan mengenai janggutnya apabila mendengar kisah tersebut. Ali AS berkata kepadanya:

"Aku bersumpah bahawa aku juga mengalami keadaan yang sama seperti engkau."

Ali AS lalu menyerahkan wang yang dibawanya kepada Miqdad. Ali AS kemudian pergi ke masjid di mana pada ketika itu Nabi SAWA sedang solat. Ali AS bersolat di tempat suci itu, dan selepas selesai menunaikan kewajipannya, beliau AS menemui Nabi SAWA di pintu masjid. Rasulullah SAWA bertanya Ali AS tentang makanan yang dia ada untuk makam malam, sama ada Nabi SAWA dijemput oleh menantunya untuk makan malam.

Ali AS tunduk dan tidak berkata apa-apa. Beliau AS tidak tahu apa yang harus dikatakan. Kelihatannya Rasulullah SAWA tahu tentang kisah wang satu dinar itu. Telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAWA bahawa hendaklah beliau SAWA bersama Ali AS pada petang itu." Mengapa anda tidak berkata sesuatu?," tanya Nabi Muhammad SAWA. Ali AS dengan menjawab:" Diriku di tanganmu."

Nabi Muhammad SAWA memegang tangan Ali AS dan dua orang yang agung ini berjalan bersama-sama ke rumah Fatimah AH. Apabila sampai di sana, Fatimah AH baru selesai menunaikan kewajipannya (solat), dan di atas tungku ada satu periuk masakan sedang di masak dan ketika ia sedang mendidih. Fatimah AH kemudian keluar apabila mendengar bunyi tapak kaki ayahnya datang dan menyambut kedatangan mereka. Nabi SAWA mengucapkan salam dengan lembut." Semoga Allah SWT memberi rahmat ke atas kamu berdua, dan semoga kamu dapat menyediakan kami hidangan makan malam!" sambung Rasulullah SAWA.

Fatimah AH mengambil periuk tersebut dan meletakkan di hadapan ayahnya SAWA dan suaminya, Ali AS, yang terkejut dan bertanya isterinya bau makanan yang lazat di dalam periuk itu. Fatimah AH berkata:" Adakah anda marah dengan memandangku dengan pandangan yang demikian! Adakah aku telah melakukan sesuatu yang salah menyebabkan aku layak menerima kemarahanmu!?"

Ali AS berkata:" Mengapa tidak? Semalam engkau bersumpah bahawa engkau tidak mempunyai sedikit makanan pun untuk kita hidup selama beberapa hari! Apa ertinya ini semua?"

Dengan memandang ke langit Fatimah AH menyambung:" Tuhanku yang berkuasa ke atas langit dan bumi akan menjadi saksi bahawa apa yang akan aku katakan ini adalah benar."

Ali AS menambah:" Wahai Fatimah! Sudikan anda menyatakan kepada kami kisah sebenarnya. Sudikan anda dengan jujur menyatakan kepada kami siapakah yang menghantar hidangan yang lazat ini yang menjadi makanan kita!"

Rasulullah SAWA dengan lembut meletakkan tangannya ke atas bahu Ali AS dan berkata:" Wahai Ali! Semua ini adalah sebenarnya anugerah dari Allah SWT kerana kemurahan yang kamu tunjukkan ketika memberikan wang dinar tersebut.

"Sesungguhnya Allah memberikan (rezeki) apa yang dikehendakiNya tanpa hisab."(Ali-Imran:37)
"Dan apabila Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrabnya, dia mendapati jmakanan di sisinya." (Ali-Imran:37)[Bihar al-Amwar, Jilid 43, hlm.59-61; Amali Tusi, Jilid 2, hlm.228-230]

Sikap Rasulullah SAWA Terhadap Fatimah AH

Rasulullah mengaitkan Fatimah AH dengan dirinya SAWA. Justeru Rasulullah SAWA bersabda yang bermaksud:

" Fatimah adalah daripadaku dan barang siapa yang membuat dia marah, akan membuat aku marah." [Al-Bukhari, Jilid V, hadith 111]

Ketika berpergian, Fatimah AH adalah orang yang paling akhir beliau SAWA mengucapkan selamat tinggal, dan ketika pulang dia (Fatimah AH) adalah orang yang pertama yang ditemui oleh ayahya SAWA. [Bihar, Jilid 43, hlm.39-40; Ahmad bin Hanbal, Musnad, Juzuk 5, hlm.275; Al-Baihaqi, Sunan, Juzuk 1, hlm.26].

Imam Ali AS suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAWA:

"Wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan keluargamu yang paling dekat denganmu? Fatimah binti Muhammad," jawab baginda SAWA.

[Al-Tabari, Dhakair al-Uqba; Al-Tirmidzi, Sunan. hlm.549; Al-Mustadrak, Jilid 3, hlm.21 dan 154]

 
Imam Ali AS Dan Fatimah AH

Imam Ali AS berkata:

"Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah membuat Fatimah AH berasa bimbang dan takut di sepanjang kehidupan keluarga kami. Beliau AH tidak pernah marah semasa beliau AH hidup atau aku memaksa beliau AH melakukan sesuatu dengan paksaan. Beliau AH sentiasa taat kepadaku secara rela dan tidak pernah membuatkan aku marah. Memandang wajahnya membuatku sentiasa tertarik (bahagia) sehingga setiap perasaan marah akan hilang dalam diriku." [Bihar, Juzuk, 43, hlm.134]

Imam al-Baqir AS berkata:

"Fatimah AH telah berjanji akan melakukan semua kerja rumah termasuklah membuat roti dan menyapu rumah mereka. Ali AS pula bersetuju untuk melakukan kerja-kerja membeli-belah (keperluan harian), dan kerja-kerja luar yang lain seperti mencari kayu api, dan sebagainya. Pada suatu hari Ali AS bertanya Fatimah AH sama ada masih ada makanan yang berbaki di rumah mereka. Fatimah AH menjawab:" Aku bersumpah dengan namaNya yang membuat kemurahan dan anugerah kepadamu bahawa sejak tiga hari kebelakangan ini kita menghadapi kekurangan makanan." Mengapakah engkau tidak menyatakan kepadaku hal ini?" tanya Ali AS. Beliau AH menyambung: " Rasulullah SAWA telah melarangku daripada meminta-minta sesuatu daripadamu. Beliau SAWA telah memerintahkan kepadaku agar jangan meminta daripadamu sebarang keperluan. Jika engkau membeli sesuatu aku hendaklah menerimanya, dan jika tidak hendaklah aku berdiam diri." [Bihar, Jilid 43, hlm.31]

Kehidupan Politik Fatimah AH

Kehidupan Fatimah AH bukan hanya melakukan tugas sebagai suri rumah tangga dan beribadat sahaja tetapi juga meliputi soal-soal politik sejak dari zaman ayahandanya Rasulullah SAWA di Mekah hingga selepas wafat ayahandanya SAWA. Beliau AH dengan gigih menyokong keras perjuangan ayahandanya Rasulullah SAWA dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam yang telah dididik oleh ayahandanya Rasulullah SAWA.

Pada tahun kesepuluh kerasulan, Khadijah ibu Fatimah AH meninggal dunia. Fatimah AH kehilangan ibundanya yang tercinta. Pada tahun yang sama, beliau AH kehilangan datuk saudaranya Abu Talib yang kuat melindungi Rasulullah SAWA. Dengan kewafatan dua orang insan mulia ini, para musyirikin Quraisy mulai berani menentang dan menyakiti Rasulullah SAWA secara terbuka. Sehinggakan pada suatu peringkat mereka sanggup memutuskan untuk membunuh Rasulullah SAWA. Justeru, Rasulullah SAWA membuat keputusan berhijrah ke Madinah. Malam itu Ali AS tidur di tempat tidur Rasulullah SAWA demi untuk mengelirukan musuh-musuh Allah itu. Pada malam itu juga Fatimah menginap di rumah ayahandanya dan mengetahui semua kejadian tersebut. Fatimah bertahan pada malam itu dengan penuh perjuangan, kesabaran, dan keberanian segala kemungkinan yang akan berlaku kepada mereka.

Fatimah AH kemudian berhijrah ke Madinah dengan rombongan hijrah di ketuai oleh Ali AS. Dalam perjalanan ke Madinah, beberapa orang kafir mencuba untuk menghalang mereka tetapi dengan keberanian dan tekad Ali AS, maka mereka berasa takut dan membiarkan rombongan hijrah itu meninggalkan Mekah. Akhirnya setelah menempuh segala kesulitan, mereka pun sampai ke Madinah.

Fatimah AH turut menjadi saksi Perang Badar dan Perang Uhud. Dalam Perang Uhud, dahi, dan gigi Nabi SAWA luka parah. Dan yang lebih menyedihkan ialah apabila tersebarnya berita palsu bahawa Rasulullah SAWA turut terkorban. Fatimah AH berangkat ke Uhud untuk menyaksikan medan pertempuran, dan juga melihat ayahandanya yang dikasihi Rasulullah SAW. Setelah perang berakhir, Fatimah AH menemui ayahandanya Rasulullah SAWA, dan membersihkan wajah baginda dari luka-luka. Dalam peperangan ini juga, Fatimah AH menyaksikan datuk datuk saudaranya Hamzah syahid di medan perang.

Selepas Rasulullah SAWA wafat, Fatimah AH turut memperjuangkan hak Imam Ali AS sebagai khalifah yangh sah dilantik oleh Rasul SAWA dan juga tentang haknya terhadap Tanah Fadak. Fatimah tidak mengiktiraf Abu Bakar sebagai khalifah yang sah. Pada suatu ketika Abu Bakar dan Umar al-Khattab bersama rombongannya mengepung rumah Fatimah AH dengan tujuan mendesak ahli rumah rumah memberikan bai'ah kepada Abu Bakar. Malahan Rombongan tersebut mengugut akan membakar rumah tersebut. Seseorang bertanya Umar: " Wahai ayah Hafsah (Umar al-Khattab, sesungguhnya Fatimah ada di dalam," dan Umar menjawab,: "Wa in (sekalipun)"[Ibn Qutaibah, Al-Imamah Wal-Siyasah, Jilid I, hlm.12-13]. Fatimah AH kemudian keluar dari pintu dari berkata lantang:"Hai, Abu Bakar, Alangkah cepatnya anda menyerang keluaga Rasul. Demi Allah, saya tidak akan bercakap dengan Umar sampai saya menemui Allah...Kamu semua telah membiarkan jenazah Rasulullah SAWA bersama kami, dan kamu semua telah mengambil keputusan antara kamu sendiri tanpa bermesyuarat dengan kami dan tanpa menghormati hak-hak kami. Demi Allah, aku katakan, keluarlah kamu semua dari sini dengan segera! Jika tidak dengan rambutku yang kusut ini, aku akan meminta keputusan dari Allah!"[Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul Balaghah, Jilid VI, hlm.48-49]

Fatimah AH menganggap Tanah Fadak sebagai miliknya yang sah kerana ia telah diberikan oleh Rasul SAWA ketika baginda SAWA masih hidup. Tanah Fadak terletak dekat dengan Khaibar dan disitu terdapat kebun kurma. Ia kemudian diserahkan oleh Bani Nadir kepada Rasulullah SAWA iaitu selepas peristiwa Perang Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Kemudian Rasulullah SAWA menghadiahkan tanah tersebut kepada Fatimah AH [riwayat dari Abu Sai'd al-Khudri - sila lihat Fada'il Khamsah fi al-Sihah al-Sittah, Jilid 3, hlm.36] iaitu apabila turunnya ayat Qur'an yang bermaksud," Apa sahaja harta rampasan (fa'i) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya." (59:7) .

Fatimah AH menuntut Tanah Fadak dari Abu Bakar tetapi Abu Bakar menolaknya. Fatimah AH lalu menemui Abu Bakar dan terjadilah perdebatan di antara mereka berdua: Al-Jauhari meriwayatkan bahawa ketika sampai berita kepada Fatimah AH bahawa Abu Bakar menolak haknya ke atas Tanah Fadak, maka Fatimah AH dengan disertai para pembantu wanitanya dan para wanita Bani Hasyim pergi menemui Abu Bakar. Fatimah AH berjalan dengan langkah seperti langkah Rasul. Ia lalu memasuki majlis yang dihadiri Abu Bakar, dan penuh dengan kaum Muhajirin dan Ansar. Fatimah membentangkan kain tirai antara dia dan kaum wanita yang menemaninya di satu sisi,dan majlis yang terdiri dari kaum lelaki di sisi yang lain. Ia masuk sambil menangis tersedu, dan seluruh hadirin turut menangis. Maka gemparlah pertemuan itu. Setelah suasana kembali tenang, Fatimah AH pun berbicara:

"Saya memulai dengan memuji Allah Yang Patut Dipuji. Segala Puji bagi Allah atas segala nikmatNya, dan terhadap apa yang diberikanNya..." dan setelah mengucapkan khutbahnya yang sungguh indah, ia lalu berkata: "Fatimah AH:" Apabila anda mati, wahai Abu Bakar, siapakah yang akan menerima warisan anda? "Abu Bakar:" Anakku dan keluargaku."Fatimah AH:" Mengapa maka anda mengambil warisan Rasul yang menjadi hak anak dan keluarga beliau?" Abu Bakar:" Saya tidak berbuat begitu, wahai putri Rasul. "Fatimah AH:" Tetapi anda mengambil Fadak, hak Rasulullah yang telah beliau berikan kepada saya semasa beliau masih hidup....Apakah anda dengan sengaja meninggalkan Kitabullah dan membelakanginya serta mengabaikan firman Allah yang mengatakan," Sulaiman mewarisi dari Daud " (Al-Naml: 16), dan ketika Allah mengisahkan tentang Zakaria serta firman Allah, Dan keluarga sedarah lebih berhak waris mewarisi menurut Kitabullah?(Al-Ahzab:6) Dan Allah berwasiat, " Bahawa anak lelakimu mendapat warisan seperti dua anak perempuan" (Al-Nisa:11) dan firman Allahj," Diwajibkan atas kamu apabila salah seorang daripada kamu akan meninggal dunia, jika ia meninggalkan harta, bahawa ia membuat wasiat bagi kedua orang tua dan keluarganya dengan cara yang baik, itu adalah kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa" (Al-Baqarah: 80). Apakah Allah mengkhususkan ayat-ayat tersebut kepada anda dan mengecualikan ayahku daripadanya? Apakah anda lebih mengetahui ayat-ayat yang khusus dan umum, lebih daripada ayahku dan anak bapa saudaraku (Ali AS) Apakah anda menganggap bahawa ayahku berlainan agama dariku, dan lantaran itu maka aku tidak berhak menerima warisan?" [Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul Balaghah, Jilid XVI, hlm.249]

Ibn Qutaibah meriwayatkan pertemuan yang mungkin terakhir di antara Fatimah AH dan Abu Bakar seperti berikut: "Umar bin Khattab berkata kepada Abu Bakar:" Marilah kita pergi kepada Fatimah, sesungguhnya kita telah menyakiti hatinya. "Maka keduanya pun pergi ke rumah Fatimah AH, dan Fatimah AH tidak mengizinkan mereka masuk ke dalam rumah. Mereka lalu memohon kepada Ali bin Abi Talib, lalu Ali AS memperkenankan mereka masuk ke dalam. "Tatkala keduanya duduk dekat Fatimah AH, Fatimah AH memalingkan wajahnya ke arah dinding rumah. Salam Abu Bakar dan Umar tidak dijawabnya. Fatimah AH kemudian berkata:" Apakah anda boleh mendengar apabila saya katakan kepada anda suatu perkataan yang berasal dari Rasulullah SAWA yang anda kenal dan anda telah bertemu beliau SAWA?" Keduanya menjawab: " Ya."
Kemudian Fatimah AH berkata:" Apakah anda tidak mendengar Rasulullah SAWA bersabda," Keredhaan Fatimah adalah keredhaan saya, dan kemurkaan Fatimah adalah kemurkaan saya. Barang siapa mencintai Fatimah, anakku, bererti ia mencintaiku, dan barang siapa membuat Fatimah murka, bererti ia membuat aku murka."
Mereka berdua menjawab:" Ya, kami telah mendengarnya dari Rasulullah SAWA.
Fatimah AH berkata:" Aku bersaksi kepada Allah dan malaikat-malaikatNya, sesungguhnya kamu berdua telah membuat aku marah, dan kamu berdua tidak membuat aku redha. Seandainya aku bertemu Nabi SAWA, aku akan mengadu kepada beliau SAWA tentang kamu berdua. Abu Bakar berkata:" Sesungguhnya saya berlindung kepada Allah dari kemurkaanNya dan dari kemurkaan anda, wahai Fatimah."
Kemudian Abu Bakar menangis, hampir-hampir jiwanya menjadi goncang. Fatimah lalu berkata:" Demi Allah, selalu saya akan mendoakan keburukan terhadap anda dalam setiap solat saya." Kemudian Abu Bakar keluar sambil menangis....[Ibn Qutaibah, Al-Imamah Wal-Siasah, Bab Bagaimana Bai'at Ali bin Abi Talib; O.Hashem, Saqifah Awal Perselisihan Ummat, hlm.100-101]

Kewafatan Fatimah AH

Selepas peristiwa itu, Fatimah AH akhirnya tidak bercakap lagi dengan keduanya sehingga beliau AH wafat iaitu kira-kira enam bulan selepas kewafatan Rasulullah SAWA [sila lihat Sahih Bukhari Jilid VI, hlm. 196].

Di sepanjang tempoh tersebut, Fatimah AH sering menziarahi makam Rasul SAWA dengan air mata bercucuran mengenangkan sikap para sahabat Nabi SAWA terhadapnya selepas Rasul SAWA tiada lagi di sisi mereka. Beliau AH sering juga menziarahi kuburan para syuhada di luar kota Madinah. Ada di kalangan orang yang tidak suka Fatimah AH menangis sedemikian rupa. Ada yang rasa terganggu dengan tangisan Fatimah AH. Imam Ali AS kemudian membina sebuah rumah kecil di kawasan Perkuburan Baqi' untuk kemudahan Fatimah AH. Fatimah AH sering membawa anak-anaknya Hasan dan Husayn ke rumah tersebut bagi meluahkan rasa kesedihan sehinggalah menjelang senja. Rumah kecil itu dipanggil Bayt al-Ahzan (Rumah Kesedihan). Imam Ali AS sering pergi ke rumah itu bagi mengiringi Fatimah AH pulang ke rumah. [Bihar, Juzuk 43, hlm.177-178]

Pada hakikatnya, khabar tentang kewafatan Fatimah AH telah dinyatakan oleh Rasulullah SAWA ketika baginda SAWA sakit. Riwayat al-Bukhari dari Aisyah:
" Nabi SAWA memanggil Fatimah AH ketika baginda SAWA sedang sakit kuat, dan menyatakan suatu rahsia yang membuatkan Fatimah AH menangis. Kemudian baginda SAWA menyatakan sesuatu kepada Fatimah AH yang menyebabkan beliau AH tertawa. Apabila aku (Aisyah) bertanya kepadanya, beliau berkata bahawa Nabi SAWA menyatakan kepadanya suatu rahsia tentang sakit yang dialami akan membawa kepada kewafatan baginda SAWA, lantaran itu aku (Fatimah AH) menangis. Beliau SAWA kemudian menyatakan kepadanya bahawa beliau AH adalah seorang dari keluarganya yang mula-mula menemuinya selepas beliau SAWA wafat (Fatimah AH akan menyusuli (wafat) selepas Rasul SAWA wafat), lalu, aku tertawa [Al-Bukhari, Jilid V, hadith 62]

Ketika ajalnya hampir tiba, Fatimah AH memanggil Ali AS dan berkata:

"Wahai putera pamanku, aku berasa ajalku semakin hampir. Tidak lama lagi aku akan menyusul ayahku. Dengarkanlah wasiat terakhirku yang sudah lamaku simpan dalam hati.
Mendengar kata-kata isterinya itu dalam nada tersekat-sekat, Imam Ali AS meminta semua orang yang tidak berkepentingan keluar. Kemudian ia menjawab:"Katakanlah segala wasiatmu wahai puteri Rasulullah..." Fatimah AH berkata:" Wahai puteri pamanku, sejak engkau bergaul denganku, apakah engkau pernah melihat aku berdusta, atau tidak mengikut kemahuanmu? Sudah tentu pertanyaan aneh ini cukup membingungkan Ali AS dalam suasana sedih sebegitu. Tetapi Ali segera dapat menguasai dirinya, kemudian menyahut:" Na'udzu billah, engkau lebih mengerti, engkau lebih bersih, lebih bertaqwa, lebih mulia, dan lebih takut kepada Allah. Seandainya engkau pernah tidak menuruti kehendakku, sama sekali aku tidak menyesali dirimu. Aku berasa sangat berat berpisah dan kehilangan dirimu, tetapi itu suatu hal yang tidak mungkin. Demi Allah, musibah baru akan menimpa diriku lagi sesudah Rasulullah SAWA wafat. Sungguh berat rasanya aku akan kau tinggalkan....Inna lillahi wa-ina ilaihi raji'un...! Demi Allah, tidak ada musibah yang lebih berat dari ini, dan tidak ada cubaan yang lebih keras dari ini..."

Di antara wasiat Fatimah AH kepada Imam Ali AS ialah meminta Imam Ali AS menguburkan jenazahnya pada malam hari dan tidak mengizinkan orang-orang yang menzaliminya menyaksikan majlis pemakamannya, dan juga tidak mengizinkan mereka mengadakan solat jenazah ke atasnya. Pada malam ketiga Jamadil Akhir tahun ke-11 Hijrah, Imam Ali AS dan sebilangan kecil dari keluarga dan syiahnya yang setia menyempurnakan jenazah Fatimah AH. Di antara mereka adalah Ali, Hasan, Husayn, Zainab, Umi Kalthum, Aqil, Abu Dzar, Ammar, Miqdad dan Salman al-Farisi.

Ketika Imam Ali AS mengadu kepada Rasul SAWA di permakaman baginda SAWA tentang kewafatan Fatimah AH, beliau berkata:

"Wahai Nabi Allah, salam ke atasmu dariku dan dari puterimu yang kembali kepadamu dan tersangat cepatnya ia kembali kepadamu. Wahai Nabi Allah, kesabaranku tentang buah hatimu (puterimu Fatimah AH) telah semakin lelah, dan kekuatanku menghadapinya semakin lemah, kecuali aku telah mengalami kesedihan ketika berpisah denganmu dulu. Aku letakan dirimu ke dalam kuburmu selepas nafasmu yang terakhir di antara leher dan dadaku. Firman Allah SWT, yang bermaksud:

 "...Sesungguhnya kita dari Allah, dan sesungguhnya kepadaNya kita kembali."(Qur'an 2:156)

Kini, apa yang telah engkau amanahkan kepadaku (Fatimah AH) dan apa yang telah diberikan telah diambil kembali. Kesedihanku sudah tidak bertepi lagi, dan malam-malamku semakin suram tanpa tidur sehingga Allah memilihkanku sebuah rumah yang ketika ini engkau diami.

Sesungguhnya, puterimu pasti akan mengadu kepadamu tentang ummatmu yang menzaliminya. Engkau tanyalah kepadanya dan pasti akan mendapat tahu tentang perkara tersebut. Semua ini berlaku ketika masa belum berlaku panjang dan ingatanmu belum lagi hilang. Salamku ke atas kamu berdua...."[Nahjul Balaghah, Khutbah nombor 201]