DIALOG AMIR AL-MUKMININ
`ALI B. ABI TALIB DENGAN
KHALIFAH ABU BAKAR MENGENAI IMAMAH/KHILAFAH
Tuntutan Amir al-Mukminin `Ali b.
Abi Talib A.S terhadap jawatan khalifah selepas Rasulullah s.a.w adalah
satu hakikat yang tidak boleh dinafikan kerana ia dicatat di dalam buku-buku
muktabar Ahl al-Sunnah dan Syi`ah.
Tuntutan tersebut lebih terserlah di dalam bentuk munasyadah (soal jawab) di mana beliau mengemukakan beberapa soalan kepada Khalifah Abu Bakr berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah s.`a.w mengenai hak dan kelebihan dirinya, di mana orang yang ditanya harus menjawab soalan-soalan tersebut.
Bagi Amir al-Mukminin `Ali A.S, tuntutan beliau terhadap jawatan khalifah selepas Rasulullah s.`a.w adalah satu hak yang wajib dituntut. Kerana Rasulullah s.`a.w telah melantik beliau dan sebelas anak cucunya daripada Fatimah A.S sebagai Imam/Khalifah. Bagi `Ali, perlantikan beliau adalah daripada Allah S.W.T.melalui rasulNya. Justeru itu orang ramai harus mentaatinya dansebelas para imam selepas beliau satu persatu. Apatah lagi khutbah/hadis Rasulullah s.`a.w di Ghadir Khum pada 18 Dhu l-Hijjah tahun 10 hijrah menjadi asas yang penting di dalam tuntutan beliau terhadap jawatan khalifah secara langsung selepasRasulullah s.`a.w.
Terjemahan Teks Dialog
Di sini akan diperturunkan dialog Amir al-Mukminin `Ali A.S yang dikemukakan
kepada Khalifah Abu Bakr mengenai Imamah/Khilafah. Di dalam
pembentangan ini, penulis mengemukakan terjemahan teks tersebut menurut
catatan al-`Allamah al-Tabarsi di dalam al-Ihtijaj,.
Kemudian penulis membuat rujukan kepada buku-buku Ahl al-Sunnah kita sebagai
pengukuhan kepada kesahihan hadis-hadis tersebut.
Daripada Ja`far, Imam Ja`far al-Sadiq adalah imam keenam Ahl al-Bait Rasulullah s.a.w. Ja`far b. Muhammad, Imam Muhammad al-Baqir b. `Ali Zain al-Abidin b. Husain b.Ali adalah imam kelima Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w.daripada bapanya, daripada datuknya A.S. Beliau berkata: Apabila selesai urusan Abu Bakr dan bai`ah orang ramai kepadanya serta perbuatan mereka terhadap `Ali, Abu Bakr masih mengharapkan bai`ah daripada `Ali, tetapi beliu A.S telah menunjukkan sikap negatif terhadapnya. Abu Bakr menganggapnya sebagai serius lalu beliau ingin berjumpa dengannya dan meminta maaf daripadanya di atas bai`ah orang ramai kepadanya sedangkangkan dia (Abu Bakr) sendiri tidak begitu berhasrat untuk memegang jawatan khalifah kerana kezuhudannya.Dia mengadakan pertemuan empat mata dengan `Ali A.S.
Dia berkata: Wahai Abu l-Hasan! Demi Allah perkara ini bukanlah aku benar-benar mencintainya kerana aku tidak mempunyai keyakinan kepada diriku sendiri terhadap keperluan umat ini. Aku tidak mempunyai harta yang banyak dan keluarga yang ramai. Oleh itu kenapa anda menyembunyikan kepadaku apa yang aku tidak berhak daripada anda. Anda melahirkan kebencian terhadap.
Amir al-Mukminin berkata:
1. Apakah yang mendorong anda untuk memegang jawatan khalifah sekiranya anda benar-benar tidak menghendakinya dan anda pula kurang yakin kepada diri anda sendiri untuk mengendalikannya?
Abu Bakr berkata: Sebuah hadis yang aku mendengarnya daripada Rasulullah s.`a.w bermaksud "Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku di atas kesesatan". Apabila aku melihat ijmak mereka terhadapku, maka akupun mengikuti sabda Nabi s.`a.w tersebu.
Dan aku tidak terfikir ijmak mereka menyalahi petunjuk. Lantaran itu aku memberi jawapan yang positif. Dan sekiranya aku mengetahui mahupun seorang yang tidak bersetuju di atas perlantikanku nescaya aku menolaknya.
2. `Ali berkata: Adapun sabda Nabi
s.`a.w yang anda menyebutkannya "Sesungguhnya Allah tidak akan
mengumpulkan umatku di atas kesesatan", adakah aku daripada umat ataupun
tidak?
Abu Bakr menjawab: Tentu sekali
anda daripada umat.
3. `Ali berkata: Adakah golongan
menentang anda yang terdiri daripada Salman, `Ammar, Abu Dhar, al-Miqdad,
Ibn `Ubbad dan orang-orang Ansar yang lain bersamanya termasuk di dalam umat?
Abu Bakr menjawab: Semuanya
termasuk di dalam umat.
4. `Ali berkata: Bagaimana anda
berhujah dengan hadis tersebut sedangkan orang seperti mereka telah
membelakangi anda? Sedangkan umat tidak mencela mereka dan persahabatan
mereka dengan Rasulullah adalah baik!
Abu Bakr menjawab: Aku tidak
mengetahui penentangan mereka melainkan selepas berlaku pemilihan khalifah.
Aku khuatir sekiranya aku meninggalkan "perkara" tersebut orang ramai akan
menjadi murtad dari agama mereka. Lantaran itu perlakuan mereka terhadapku -
sekiranya aku menyahuti seruan mereka - lebih senang bagikumememberi
pertolongan di dalam agama dan mengekalkannya dari permusuhan di kalangan
mereka. Justeru itu mereka kembali menjadi kafir. Aku menyedari bahawa anda
bukanlah orang yang dapat mengekalkan keadaan mereka dan agama mereka.
5. `Ali berkata: Ya! Tetapi
beritahukan kepadaku tentang orang yang berhak jawatan khalifah dan dengan
apakah dia berhak?
Abu Bakr menjawab: Dengan nasihat,
kesetiaan, perlakuan yang baik, melahirkan keadilan, alim dengan kitab dan
sunnah, percakapan yangtinggi, zuhud di dalam soal keduniaan, tidak terlalu
cintakan dunia, menyelamatkan orang yang tertindas dari ditindas,sama ada
jauh dan dekat. Kemudian dia (Abu Bakr) diam.
6. `Ali berkata: Orang yang terawal
memeluk Islam dan kerabat?
Abu Bakr menjawab: Ya!
7. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah wahai Abu Bakr, adakah sifat-sifat tersebut terdapat pada
diri anda atau pada diriku?
Abu Bakr menjawab:
Malah pada diri anda wahai Abu l-Hassan.
Ibn Hajr al-`Asqalani, Lisan al-Mizan,
VI, hlm. 78; al-Khawarizmi, al-Manaqib, hlm. 7;Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah,
VII, hlm. 356
8. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku yang telah menyahuti dakwah Rasulullah (s.`a.w) dari kaum lelaki atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah,
hlm. 91-92
9. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah, adakah aku yang mengistiharkan Surah al-Bara'ah di musim haji akbar di hadapan kaum muslimin atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ahmad b. Hanbal, al-Musnad, I, hlm.
156; al-Turmudhi, Sahih
10. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah, aku telah mempertahankan Rasulullah s.`a.w. dengan diriku
di hari al-Ghadiratau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Hakim, al-Mustadrak, II,
hlm. 53-54
11. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah, adakah aku maula kepada anda dan semua muslimin
melalui hadis Nabi (s.`a.w.) di hari al-Ghadir atau anda?
Abu Bakr menjawab: Anda.
Ahmad b. Hanbal, al-Musnad, IV, hlm.
370; al-Wahidi, Asbab al- Nuzul, hlm. 150; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur,
II, hlm. 298; al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah, hlm. 120; al-Khatib
12. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah ayat al-Wilayah (al-Maidah5:55) daripada
Allah bersama Rasul-Nya mengenai zakat dengan sebentuk cincin untuk aku atau
anda?
Abu Bakr menjawab:
Untuk anda.
Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, II,
hlm. 293; Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 417; al-Zamakhsyari,
al-Kasysyaf, I, hlm. 422; al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, I, hlm. 4
13. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah al-Wazarah (wazir) untukku bersama Rasulullah (s.`a.w.) umpama Harun bersama Musa atau untuk anda?
Abu Bakr menjawab:
Untuk anda.
Ahmad b. Hanbal, al-Musnad, I,
hlm. 175; al-Muttaqi al-Hindi,Kanz al-`Ummal, VI, hlm. 117; al-Hakim, al-Mustadrak,
III, hlm 116; al-Turmudhi, Sahih, II, hlm. 301; al-Nasa'i, al-Khasa'is
14. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah Rasulullah (s.`a.w.) mempertaruhkan dengan aku,
isteriku dan ana- anak lelakiku apabila bermubahalah dengan Musyrikin atau
dengan isteri anda dan anak-anak lelaki anda?
Abu Bakr menjawab:
Dengan kalian.
al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf,
I, hlm. 482; Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 20; Ahmad b.
Hanbal, al-Musnad, I,hlm. 185; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, II, hlm. 38;
al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, hlm. 47; al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm.101.
15. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah ayat al-Tathir (Surah al-Ahzab 33: 33) untukku,
isteriku dan anak-anak lelakiku atau untuk anda, isteri anda dan anak-anak
lelaki anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda dan anak isteri anda.
Al-Tabari, Jami` al-Bayan,
XXII, hlm. 502; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, V, hlm. 198; Ahmad b. Hanbal,
al-Musnad, III, hlm. 259; al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, hlm. 251
16. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah aku, isteriku dan anak-anak lelakiku yang didoakan
oleh Rasulullah (s.`a.w.) di hari al-Kisa' "Wahai Tuhanku mereka
itulah keluargaku kepada Mu dan bukan kepada neraka" atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda, isteri anda dan anak-anak lelaki anda.
Ibid.
17. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku yang dimaksudkan dengan ayat "Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana" (Surah al-Insan76:7) atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Wahidi, Asbab al-Nuzul,
hlm. 331; Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghaib, VIII, hlm. 392; Ibn Hajr
al-`Asqalani, al-Isabah, VIII, hlm. 168; Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, V, hlm.
530; al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm. 102.
18. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah anda yang dikembalikan matahari untuk waktu solat
lalu ditunaikan solatnya kemudian ia terbenam atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ibn Hajr, Lisan al-Mizan, V,
hlm. 76; Ibn Kathir
19. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah anda yang telah melegakan Rasulullah (s.`a.w.) dan
kaum Muslimin dengan pembunuhan `Amru b. `Abd Wuddin atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah
al-Talib, hlm. 277
20. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan
nama Allah adakah anda yang telah diamanahkan oleh Rasulullah (s.`a.w.)
dalam perutusannya kepada jin lalu anda menyahutinya atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ibid., hlm. 230-231
21. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku yang disucikan oleh Allah dari perzinaan semenjak Adam sehinggalah kepada bapanya dengan sabda Rasulullah (s.`a.w.) "Aku dan anda (`Ali) dari nikah yang sah dan bukan dari perzinaan semenjak Adam hinggalah `Abdu l-Muttalib" atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ibid., hlm. 379; al-Haithami,
Majma` al-Zawa'id, IX, hlm. 168
22. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku yang telah dipilih oleh Rasulullah dan mengahwinkan aku dengan anak perempuannya Fatimah (`a.s) dan bersabda: "Allah telah mengahwinkan anda dengan Fatimah di langit" atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ibn Hajr al-Makki, al-Sawa`iq
al-Muhriqah, hlm. 84-85; Muhibb al-Tabari, Dhakha`ir al-Uqba, hlm. 29;
al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 298-299
23. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah aku bapa Hasan dan Husain manakala beliau bersabda:
"Kedua-duanya pemuda Ahli Syurga dan bapa mereka berdua adalah
lebih baik daripada mereka berdua" atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah
al-Talib, hlm. 204; al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah, hlm. 166.
24. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah saudara anda yang dihiasi dengan dua sayap terbang di syurga bersama para malaikat atau saudaraku?
Abu Bakr menjawab:
Saudara anda.
Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi`
al-Mawaddah, hlm. 519
25. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku yang telah menjamin hutang Rasulullah (s.`a.w.) dan mengadakan perisytiharan di musim haji dengan melaksanakan janjinya atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ahmad b. Hanbal, al-Musnad,I,
hlm. 3; al-Dhahabi, Mizan al-I`tidal, I, hlm. 306; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur,
III, hlm. 209
26. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah, adakah aku orang yang didoakan oleh Rasulullah (s.`a.w.) dalam keadaan burung di sisinya, di mana beliau ingin memakannya. Beliau bersabda: "Wahai Tuhanku! bawa datanglah kepadaku orang yang paling Engkau cintai selepasku bagi memakan (daging) burung itu bersamaku ". Maka tidak seorangpun datang selain daripadaku atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Turmudhi, Sahih, II, hlm.
299; al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 130; Abu Nu`aim al-Asfahani, Hilyah
al-Auliya', VI, hlm. 339; Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, IV, hlm. 30; al-Dhahabi,
Muruj al-Dhahab, II, hlm. 49.
27. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah akukah orang yang telah diberi mandat oleh Rasulullah (s.`a.w.)
supaya memerangi al-Nakithin, al-Qasitin, al-Mariqin menurut takwil
al-Qur'an atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal,
VI, hlm. 154; Ibn Hajr,Tahdhib al-Tahdhib, III, hlm. 178; al-Kanji al-Syafi`i,
Kifayah al-Tahdhib, hlm. 167-168
28. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan
nama Allah adakah aku yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (s.`a.w.)
dengan kehakiman dan kefasihan di dalam percakapan dengan sabdanya: "`Ali
adalah orang yang paling alim di dalam ilmu penghakiman" atau
anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah
al-Talib, hlm. 112
29. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku di mana Rasulullah (s.`a.w.) memerintahkan para sahabatnya supaya memberi salam kepadanya untuk menjadi ketua pada masa hidupnya atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Ibn Hajr, al-Isabah, III, hlm. 20;
al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm. 155; al-Hakim, al-Mustadrak,
III, hlm. 128
30. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah aku yang menyaksi percakapan Rasulullah (s.`a.w.) yang terakhir, menguruskan "mandi" dan mengkafannya atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Khawarizmi, al-Manaqib,
hlm. 60-63
31. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda kerabat Rasulullah (s.`a.w.) atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Khawarizmi, al-Manaqib, hlm.
90; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 76
32. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda yang dikurniakan oleh Allah dengan dinar ketika dia memerlukannya dan Jibra'il menjualkannya kepada anda dan anda menjadikan Muhammad sebagai tetamu lalu anda memberi makan anaknya atau aku?
Abu Bakr menangis
dan berkata: Anda.
Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, V,
hlm. 530; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 348-349
33. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda yang telah diletakkan oleh Rasulullah (s.`a.w.) di atas bahunya bagi menolak dan memecahkan berhala-berhala di atas ka`bah sehingga jika aku kehendaki nescaya aku dapat menyentuhi ketinggianlangit atau anda?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Hakim,
al-Mustadrak, III, hlm. 5.
34. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda yang disabdakan oleh Rasulullah (s.`a.w.) "Andalah pemilik bendera di dunia dan di akhirat" atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi`
al-Mawaddah, hlm. 81
35. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda yang diperintahkan oleh Rasulullah (s.`a.w.) supaya membuka pintu di masjidnya ketika beliau memerintahkan supaya ditutup semua pintu keluarganya dan para sahabatnya dan membenarkan pintu anda dibuka atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Nasa'i, al-Khasa'is, hlm.
17; al-Hakim, al-Mustadrak, III,hlm. 125; al-Turmudhi, Sahih, II, hlm. 301;
al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 201
36. `Ali berkata: Aku menyeru anda
dengan nama Allah adakah anda telah mengeluarkan sadqah apabila anda
mengadakan perbicaraan khusus dengan Rasul dikala itu Allah mengkritik satu
golongan"Apakah kamu takut akan (menjadi miskin) kerana kamu memberi
sadqah sebelum pembicaraan dengan Rasul?" (Surah al-Mujadalah 58:13)
atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi`
al-Mawaddah, hlm. 100.
37. `Ali berkata:
Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda yang dimaksudkan oleh
Rasulullah (s.`a.w.) ketika beliau bersabda kepada Fatimah: "Aku nikahkan
akan anda kepada orang yang pertama beriman kepada Allah" atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
Muhibb al-Din al-Tabari,
Dhakha'ir al-Uqba, hlm. 29; Ibn Hajr, al-Sawa`iq al-Muhriqah, hlm. 85;
al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 298
38. `Ali berkata: Aku menyeru anda dengan nama Allah adakah anda yang telah diberi salam oleh para malaikat tujuh langit di hari al-Qulaib atau aku?
Abu Bakr menjawab:
Anda.
al-Khatib, Tarikh Baghdad, IV,
hlm. 403
39. `Ali berkata: Adakah dengan ini dan seumpamanya anda berhak melaksanakan urusan umat Muhammad? Apakah yang membuatkan anda terlanjur jauh dari Allah dan Rasul-Nya sedangkan anda tidak mempunyai sesuatu yang diperlukan oleh penganut agamanya!
Abu Bakr menangis
dan berkata: Memang benar apa yang anda perkatakan wahai Abu l-Hassan.
Tunggulah aku hingga berlalunya hariku. Aku akan memikirkan tentang
jawatanku sebagai khalifah dan aku tidak akan mendengar lagi percakapan
sebegini daripada anda.
Ibn
Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, I, hlm. 18-19; al-Ya`qubi, Tarikh al-Ya`qubi,
II, hlm. 127-128
30. `Ali berkata: Itu terserah kepada anda wahai Abu Bakr. Lantas dia kembali dan jiwanya agak tenang di hari itu dan tidak membenar seorangpun berjumpa dengannya sehingga di malam hari.
Di dalam munasyadah di antara Amir al-Mukminin `Ali dan Khalifah Abu Bakr
ternyata bahawa Amir al-Mukminin telah mengemukakan beberapa soalan kepada
Khalifah Abu Bakr khususnya mengenai Imamah/Khilafah di mana beliau
berhujah bahawa jawatan Imamah/Khilafah secara langsung selepas
Rasulullah (s.`a.w.) adalah haknya berdasarkan hadis-hadis Rasulullah (s.`a.w.)
mengenai perlantikan beliau sebagai imam/khalifah. Ia juga disebut
oleh beliau ketika melakukan munasyadah di antara beliau dan Khalifah
Abu Bakr di mana Khalifah Abu Bakr kelihatan memperakui hakikat ini dan
hampir-hampir menyerah jawatan Khalifah kepada Amir al-Mukminin `Ali b. Abi
Talib jika tidak dihalang oleh `Umar.
Persoalan yang timbul, jika perlantikan Rasulullah (s.`a.w.) ke atas `Ali sebagai imam/khalifah selepas beliau itu adalah benar - Ia memang benar berdasarkan hadis-hadis Nabi (s.`a.w.) -kenapa umat mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mentaati perlantikan beliau? Atau jika perlantikannya daripada Rasulullah s.`a.w. tidak benar, kenapa `Ali A.S menuntut bukan haknya?
Adakah ini sifat Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w. yang telah disucikan di
dalam Surah al-Ahzab 33: 33? Sebenarnya Amir al-Mukminin `Ali telah
menerangkan kedudukannya mengenai imamah/khilafah kepada Ibn Qais
yang mengemukakan soalan kepadanya. Sulaim b. Qais al-Hilali, meriwayatkan
bahawa Ibn Qais bertanya kepada Amir al-Mukminin `Ali A.S: Apakah yang
menghalang anda dari menghunus pedang anda untuk menuntut jawatan imamah/khilafah?
Amir al-Mukminin `Ali A.S menjawab: Wahai Ibn Qais! Dengarlah jawapanku:
Bukanlah kerana perasaan pengecut dan kebencianku menemui Tuhanku. Aku
bukanlah tidak mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik
bagiku daripada dunia dan kekal di dalamnya. Tetapi perintah Rasulullah (s.`a.w.)
yang telah menghalangku dan janji beliau kepadaku. Rasulullah (s.`a.w.)
telah memberitahuku bahawa umat akan belot selepasnya.
Meskipun begitu aku tidak begitu yakin terhadap apa yang mereka perlakukan
di hadapanku kerana aku lebih menyakini sabda Rasulullah (s.`a.w.) daripada
apa yang aku melihatnya sendiri.
Aku berkata: Wahai Rasulullah! Apakah janji anda kepadaku sekiranya ia
berlaku sedemikian? Beliau bersabda: Jika anda dapat mencari
pembantu-pembantu, maka tentangilah "mereka" dan jika anda tidak dapat
pembantu-pembantu, tahanlah tangan anda, peliharalah darah anda sehingga
anda mendapati pembantu-pembantu bagi menegakkan agama, kitab Allah dan
Sunnahku.
Rasulullah (s.`a.w.) telah memberitahuku bahawa sesungguhnya umat aka
menghinaku, membai`ah dan mengikut orang lain selain daripadaku. Rasulullah
(s.`a.w.) telah memberitahuku bahawa kedudukanku di sisinya sepertilah
kedudukan Harun di sisi Musa dan umat selepasnya seperti kedudukan Harun
serta orang yang mengikutnya
, dan kedudukan al-`Ajl (anak lembu jantan) serta orang yang
mengikutnya kerana Musa berkata kepadanya: "Wahai Harun, apa yang
menghalang kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat (sehingga) kamu tidak
mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) mendurhakai perintahku?
Harun menjawab: Wahai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan
jangan (pula) kepalaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku):
Kamu telah memecah antara Bani Isra'il dan kamu tidak memelihara ummatku"
(SurahTaha 20: 92-94).
Apa yang dimaksudkan oleh Allah adalah sesungguhnya Musa telah memerintahkan Harun ketika beliau melantiknya ke atas mereka jika mereka sesat dan beliau (Harun) dapat pembantu-pembantunnya, hendaklah beliau menentang mereka dan sekiranya beliau tidak dapat pembantu-pembantu, hendaklah beliau menahan tangannya dan memelihara darahnya dan janganlah beliau melakukan perpecahan di kalangan mereka. Dan sesungguhnya aku takut saudaraku Rasulullah (s.`a.w.) akan berkata kepadaku kenapa anda memecahbelahkan mereka dan tidak memelihara ummatku? Sedangkan aku telah menjanjikan anda sesungguhnya jika anda tidak ada pembantu-pembantu, hendaklah anda menahan tangan anda, memelihara darah anda, darah keluarga anda dan Syi`ah anda.
Amir al-Mukminin `Ali berkata lagi: Apabila Rasulullah (s.`a.w.) wafat,
orang ramai cenderung kepada Abu Bakr lantas mereka memberi bai`ah kepadanya.
Sedangkan aku sibuk memandi dan mengkafan jenazah Rasulullah (s.`a.w.).
Kemudian aku menghabiskan masaku dengan mengumpulkan al-Qur'an sehingga aku
mengumpulkannya di dalam satu kain. Kemudian aku, Fatimah dan di tangan-nya
Hassan dan Husain, menyeru kesemua orang-orang yang terlibat di dalam
peperangan Badar dan orang-orang terdahulu memeluk Islam yang terdiri
daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar, semuanya aku telah mengemukakan
hujah-hujahku dengan nama Allah S.W.T.mengenai hakku dan aku telah menyeru
mereka supaya membantuku. Tetapi semua mereka tidak menyahut seruanku selain
daripada empat orang; al-Zubair, Salman, Abu Dhar dan al-Miqdad.
Kemudian `Ali meneruskan kata-katanya: Wahai Ibn Qais, sesungguhnya mereka telah memaksaku dan menekanku hampir mereka membunuhku. Jika mereka berkata kepadaku: Kami semata-mata mahu membunuh anda, nescaya aku akan menghalang pembunuhan mereka terhadapku sekalipun aku seorang. Tetapi mereka berkata: Sekiranya anda memberi bai`ah (kepada Abu Bakr) nescaya kami akan melepaskan anda, memuliakan anda, mendampingi anda, menghormati anda. Dan sekiranya anda tidak melakukannya, nescaya kami membunuh anda. Apabila aku tidak dapati seorangpun yang akan membantuku, maka akupun memberi bai`ah kepada mereka. Tetapi bai`ahku terhadap mereka bukanlah membenarkan kebatilan mereka dan tidaklah mewajibkan kebenaran untuk mereka.
Kemudian `Ali berkata lagi: Sekiranya aku dapati di hari Abu Bakr dibai`ah
empat puluh orang lelaki yang taat, nescaya aku menentang mereka.
Beliau begitu menyesali sikap orang-orang Ansar dan Muhajirin yang tidak
membantunya. Beliau mengatakan bahawa mereka telah mencintai Abu Bakr dan `Umar
secara membuta tuli. Beliau berkata: Hairan sekali! Hati umat ini telah
dimabukkan oleh cinta kepada mereka berdua dan mencintai orang-orang yang
menyimpang dari jalan Allah.
Sekiranya umat ini berdiri di atas kakinya ke tanah dan meletakkan debu di atas kepala mereka bermunajat kepada Allah, serta menyeru di hari kiamat ke atas orang-orang yang telah menyesat dan menghalang mereka dari jalan Allah; menyeru mereka ke neraka, membentangkan mereka kepada kemurkaan Allah dan mewajibkan azab-Nya ke atas mereka kerana jenayah yang "mereka"lakukan ke atas mereka, nescaya mereka tergolong juga dari orang-orang yang cuai (muqassirin) kerana pengkaji yang benar dan alim dengan Allah dan Rasul-Nya merasa takut jika ia mengubah sesuatu sunnah dan bid`ah mereka berdua, orang ramai (umat) akan memusuhinya.
Apabila dia melakukannya, mereka akan menyulitkan (kehidupan)nya, menentangnya, membersihkan diri daripadanya, menghinanya, merampas haknya. Dan sekiranya ia mengambil sunnah mereka berdua, memperkuinya, memujinya dan menjadikannya agama, nescaya umat mencintainya, memuliakannya dan melebih-lebihkannya.
Demi Allah sekiranya aku menerangkannya kepada askar-askarku segala kebenaran yang diturunkan oleh Allah ke atas Nabi-Nya, dan aku mendedah pentafsirannya menurut apa yang aku dengar dari Nabi Allah `a.s, nescaya sedikit sahaja askar-askarku tinggal bersama ku kerana mereka takut mendengarnya.
Sekiranya janji Rasulullah (s.`a.w.) tidak ada denganku, nescaya aku
melakukannya (menyerang mereka dengan pedang). Tetapi Rasulullah (s.`a.w.)
bersabda kepadaku: "Wahai saudaraku! Apabila seorang hamba itu terpaksa
melakukan sesuatu, maka Allah menghalalkannya untuknya dan mengharuskannya
untuknya". Dan aku mendengar beliau bersabda: "Taqiyyah adalah dari
agama Allah, tidak ada agama (al-Din) bagi orang yang tidak melakukan
taqiyyah untuknya".
Walaupun begitu `Ali percaya bahawa orang lain selain Ahl al-Bait a.s tidak
layak memegang jawatan Imamah. Kerana ia telah dipilih oleh Allah
S.W.T. Sulaim b. Qais al-Hilali menulis: `Ali berkata: Demi orang yang telah
memuliakan kami Ahl al-Bait dengan "kenabian". Dia telah menjadikan di
kalangan kami Muhammad. Dia memuliakan kami selepasnya di mana Dia
menjadikan pada kami para imam bagi mukminin, orang lain selain daripada
kami tidak boleh mencapainya. Imamah dan Khilafah tidak layak
melainkan pada kami.
Amir al-Mukminin `Ali b. Abu Talib yakin bahawa imamah/khilafah
adalah haknya dan hak sebelas anak cucunya daripada Fatimah a.s berdasarkan
kepada hadis al-Ghadir dan lain-lain. Oleh itu bai`ah beliau terhadap Abu
Bakr selepas kewafatan Fatimah al-Zahra adalah secara terpaksa, tanpa
pembantu-pembantu. Jika tidak beliau akan menghadapi musibat sebagaimana
dihadapi oleh Nabi Harun a.s. Justeru itu janji Rasulullah (s.`a.w.) dengan
beliau dipeliharanya demi perpaduan umat Islam sejagat.